Friday, October 5, 2012

Paket-Paket Cinta II.

Kepada yang ikuti cerita-cerita pendek aku, pasti Paket-Paket Cinta bukan lagi satu tajuk yang asing. Selepas 1 tahun setengah, aku kembali dengan Paket-Paket Cinta II.

Percaya atau tidak --- aku telah menemukan apa yang aku namakan "Paket-Paket Cinta" dalam dunia fantasi, kini dalam realiti. Membahagiakan.

 Lokasi: bersebelahan Aliber Hall & Sundial, Drake University, Des Moines, Iowa, Amerika Syarikat

Aku sebenar-benar tidak pernah tahu musim luruh akan menyatakan impian aku sebegini. Wajar aku untuk menjadi sedikit teruja (banyak sejujurnya) kerana tahun pertama berada di perantauan mengajar dan menemukan aku dengan seribu satu perkara --- termasuk pokok Paket-Paket Cinta.

Aku petik dua helai untuk aku simpan & senyumkan setiap pagi hari. Perasaan aku? Nyata dalam petikan cerita pertama,

"Tiap-tiap pagi aku akan bangun dan lihat sekejap paket-paket cinta yang ada, kadangkala sangat banyak, bila aku mulakan hari dengan ukiran senyuman paling cantik dan estatik untuk ditatap mata-mata lain. Merahnya paket-paket cinta ini selalu menembusi hati virtual aku, dan buat aku rasa untuk berikan tiap-tiap paket cinta ini kepada semua orang yang aku jumpa sepanjang hari-hari itu."


Hari ini menjadi hari keempat 2 buah paket cinta ini menemani aku. Satu untuk aku dan satu lagi untuk Cinta Hati. Ya, warnanya telah pudar dan kelihatan rapuh. Namun tak aku nafikan, hari-hari aku bertemankan keduanya cukup untuk buat aku bahagia dan menyelusuri cerita pertama tanpa meninggalkan senyuman --- walaupun cuma empat hari.

Aku tak akan mempersunting paket-paket cinta ini lagi, walaupun untuk aku perolehnya setiap hari tidak mustahil. Paket-paket cinta yang masih terikat kukuh dengan dahan dan ranting-ranting itu, aku kira sebagai pembahagia hati-hati setiap yang memandang dan melaluinya. Semoga merahnya paket-paket cinta ini akan meletakkan cinta di ruang yang tepat di dalam hati setiap yang teruja dengannya, dan diberikan kepada yang benar-benar menghargainya.

Aku harap beribu-juta lagi cerita dan angan-angan yang aku kepilkan dalam dunia fantasi aku akan menjadi kenyataan, termasuk berjumpa Cinta Hati.


1 comment: